Rumah tak ada air? Tak pasti apa yang menyebabkan gangguan bekalan air di kawasan anda? Pertama sekali, jangan panik. Gangguan air merupakan satu kebiasaan di negara kita. Dengan persediaan yang lengkap, anda dan keluarga mampu mengharungi hari tanpa air seperti biasa.
Walaupun Malaysia menerima hujan sepanjang tahun, kita tidak dapat lari daripada masalah gangguan bekalan air. Peningkatan populasi menyebabkan permintaan air semakin meningkat tahun demi tahun.
Walau bagaimanapun, apa yang perlu kita lakukan sekiranya tiada air di kawasan perumahan kita? Dalam artikel kali ini, kami akan menerangkan mengenai jenis gangguan air serta cara yang terbaik untuk anda menanganinya pada masa hadapan.
Malah, dengan adanya fitur baharu di laman sesawang Kitajaga.co, anda kini boleh melaporkan mengenai gangguan bekalan air di kawasan anda supaya orang ramai dapat membuat persediaan yang lebih rapi.
Jenis-jenis gangguan air
Tahukah anda, ada dua jenis gangguan air di Malaysia?
Gangguan yang pertama ialah gangguan yang berlaku disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan.
Masalah air yang berlaku disebabkan penyelenggaran juga dikenali sebagai gangguan bekalan air berjadual. Selalunya, syarikat air akan memberikan notis awal kepada penduduk setempat.Gangguan bekalan air yang tidak berjadual pula berlaku secara tiba-tiba dan di luar kawalan syarikat air setempat, sebagai contoh, bekalan air mungkin akan terganggu disebabkan paip pecah atau pembuangan sisa toksik ke sungai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Laporkan masalah gangguan air di kawasan anda
Jika anda mempunyai masalah gangguan air, anda boleh buat laporan di laman sesawang Kitajaga.co. Bukan itu sahaja, anda juga boleh membuat semakan mengenai gangguan bekalan air terkini di kawasan anda.
Tetapi, bagaimana untuk mula?
- Buka laman sesawang Kitajaga.co.
- Log masuk terlebih dahulu.
- Scroll ke bawah dan click butang lihat kempen.
- Aktifkan Pengkhidmatan Lokasi. Perkhidmatan lokasi membolehkan Kitajaga.co mengesan lokasi peranti anda dengan tepat. Click saya setuju.
- Tekan butang Laporkan Gangguan Bekalan Air. Anda mungkin perlu kemas kini maklumat profil anda.
- Anda juga boleh buat laporan di aplikasi Kita Jaga yang boleh dimuat turun di Google Play dan Apple App.
Apa yang anda perlu lakukan jika tiada air?
Gangguan air, lebih-lebih lagi yang berlaku secara tiba-tiba boleh mencetuskan panik dalam ahli keluarga. Pada waktu inilah, semua orang berpusu-pusu untuk menadah air dan membeli air botol untuk dibuat bekalan di rumah.
Walau bagaimanapun, ada beberapa langkah yang boleh anda lakukan untuk lebih bersedia menghadapi masalah ketiadaan air.
1. Ambil tahu isu semasa
Selalunya, syarikat bekalan air di negeri masing-masing akan membuat pengumuman atau menghantar notis mengenai gangguan air melalui pesanan ringkas atau di media sosial mereka. Jadi, pastikan anda sentiasa peka dan periksa sama ada kawasan rumah anda termasuk dalam kawasan yang terjejas.
Simpan nombor telefon syarikat bekalan air supaya mereka mudah dihubungi jika kawasan rumah anda tiba-tiba tidak ada air. Buat laporan dan nyatakan butirannya dengan jelas.
Jika ada kes paip pecah misalnya, syarikat bekalan air akan menghantar pekerja mereka untuk membuat tinjauan secepat mungkin.
2. Lakukan persediaan untuk menghadapi gangguan bekalan air
Pastikan anda mempunyai air tadahan yang cukup dan minuman bersih selama beberapa hari. Beli bekas simpanan air yang besar dan letakkannya di kawasan yang strategik. Tidak ada tong besar? Periuk pun boleh, asalkan dapat menakung air!
3. Periksa tangki air anda
Tangki air rumah anda dapat membekalkan sedikit air untuk kegunaan keluarga sekiranya rumah anda tidak mempunyai bekalan air.
Tetapi, adakah anda tahu spesifikasi tangki air di rumah anda? Jika tidak, inilah masa yang terbaik untuk ambil tahu supaya anda boleh agak berapa lama bekalan air di rumah boleh bertahan.
4. Tapi, macam mana kalau rumah tiba-tiba tak ada air?
Kalau rumah anda mengalami gangguan bekalan air secara tiba-tiba, besar kemungkinan masalah itu tidak akan kekal lama. Walau bagaimanapun, lebih baik sediakan payung sebelum hujan. Pastikan anda mempunyai simpanan air kecemasan sebagai langkah berjaga-jaga.
Selain itu, anda juga boleh berhubung dengan ahli keluarga atau kawan-kawan yang tinggal di daerah lain untuk mendapatkan bekalan air sementara. Jika hari hujan, anda juga boleh tadah air di luar. Air hujan yang ditadah boleh digunakan untuk membasuh pinggan atau kereta.
5. Gunakan air secara berhemah
Pada waktu genting ini, gunalah air secara berhemah. Tetapi, jangan lupa, pastikan anda mempunyai air minuman yang mencukupi, lebih-lebih lagi jika anda mempunyai anak kecil.
Antara tip untuk survive gangguan air ialah:
- Elakkan membasuh baju atau mencuci pinggan semasa ketiadaan air. Jika masih ada air yang keluar, pastikan anda tadah untuk kegunaan keluarga. Kumpul semua baju dan basuh di dobi.
- Mandi sekali sehari. Anda juga boleh beli botol spray untuk mengambil wuduk.
- Gunakan cawan dan pinggan pakai buang. Lebih mudah, jimat dan pantas.
- Recycle baju masing-masing.