RAMADAN adalah bulan Ibadah. Apa sahaja jenis ibadah yang kita lakukan pada bulan mulia ini, In syaa Allah akan digandakan pahalanya oleh Allah SWT. Maka, tidak hairan jika para ulamak memanggil Ramadan sebagai bulan ‘bonus khas’ yang tiada pada bulan-bulan yang lain.
Antara amalan boleh dilakukan adalah bersedekah. Jadi, memang molek jika kita menyediakan bajet khusus untuk bersedekah kepada mereka yang memerlukan, terutama pada bulan Ramadan. Ramai yang mengambil peluang untuk memberi makanan berbuka atau bersahur.
Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa (Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi).
Kita hendaklah mengambil peluang dengan menyediakan juadah berbuka puasa untuk jiran tetangga, rakan sekerja dan penduduk di kawasan setempat. Usaha ini juga boleh diperluaskan dengan memberi sumbangan kewangan kepada keluarga dan masyarakat setempat yang miskin dan kesusahan di sepanjang Ramadan ini. Begitu juga kepada pihak masjid dan surau yang memerlukan dana untuk makanan berbuka kepada jemaah yang bermusafir.
Menyedari kelebihan bersedekah terutama membantu daripada sudut makanan, Kitajaga.co/Ramadan telah dilaksanakan sepanjang Ramadan yang lalu. Inisiatif indah ini mendapat sokongan masjid-masjid dan masyarakat setempat. Masing-masing berebut pahala bersempena dengan bulan mulia ini.
Menggunakan pendekatan seperti Kempen Bendera Putih, iaitu bantuan diberikan melalui lokasi yang tersedia, Kitajaga.co/Ramadan ini berusaha memperbanyakkan agihan makanan untuk mereka yang memerlukan.
Jika Masjid/surau atau individu mahu memberikan sumbangan makanan atau barangan runcit, mereka hanya perlu mendaftar lokasi, jenis barangan dan maklumat yang diperlukan untuk memudahkan orang yang memerlukan mengesan dan pergi mengambil bantuan yang tersedia.
Dengan cara ini, individu mahupun keluarga yang sedang dalam kesempitan dan memerlukan bantuan berbentuk makanan atau barangan runcit, boleh mencari lokasi masjid/surau atau lokasi pemberi yang berdekatan dengan mereka. Efektif, pantas dan menjimatkan masa.
Di laman Instagram Kitajaga.co juga telah memaparkan masjid/surau yang menyahut cabaran di dalam kempen Ramadan ini. Ia bukan sahaja tertumpu di Lembah Kelang malahan di serata Malaysia.
Tahukah anda kelebihan bersedekah pada bulan Ramadan?
- Sedekah asbab gugurnya dosa
Diampuninya dosa dengan sebab sedekah jika disertai dengan taubat di atas dosa yang dilakukan.
- Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sedekah akan memadamkan api siksaan di dalam kubur.”
(HR. Thabrani).
- Dijauhkan daripada api neraka
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Jauhilah api neraka, walau hanya dengan bersedekah sebiji kurma. Jika kamu tidak ada, maka boleh dengan kalimah thayyibah.” (HR. Al Bukhari dan Muslim).
- Hati berasa lapang dan Bahagia
Orang yang bersedekah akan mendapatkan kelapangan dada dan hati yang bahagia.
- Naungan di hari akhir
Rasulullah SAW menceritakan tentang tujuh jenis manusia yang mendapat naungan di daripada Allah swt pada hari akhir iaitu salah satunya orang yang bersedekah.
- Pahalanya digandakan
Orang bersedekah akan digandakan pahalanya oleh Allah SWT.
- Pahala terus berkembang
Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah menerima amalan sedekah dan mengambilnya dengan tangan kanan-Nya. Lalu Allah mengembangkan pahalanya untuk salah seorang dari kalian, sebagaimana kalian mengembangkan seekor anak kuda. Sampai-sampai sedekah yang hanya sebiji bisa berkembang hingga sebesar gunung Uhud.” (HR. At Tirmidzi 662)