Masihkah anda ingat dengan Kempen Kibar Bendera Putih saat negara kita dilanda wabak COVID-19 dahulu? Pada waktu ini, hampir seluruh penduduk dunia terpaksa berkurung di dalam rumah masing-masing.
Disebabkan tempoh berkurung yang sangat panjang, ada di antara kita yang kehilangan mata pencarian masing-masing; apatah lagi mereka yang bekerja kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Yang senang menjadi susah, yang susah pula semakin melarat.
Ada juga keluarga yang terpaksa mencatu makanan masing-masing kerana takut kehabisan bekalan. Kedai tidak boleh dibuka. Makanan di dapur pula makin berkurangan. Bantuan yang dijanjikan pula tidak kunjung tiba.
Keluarga yang sedang dalam kesusahan ini rasa semakin terhimpit dan mula putus asa…
Namun, semua ini tidak kekal lama. Disebabkan semangat muhibbah dalam kalangan rakyat Malaysia, muncullah sebuah kempen yang dikenali sebagai ‘Kempen Kibar Bendera Putih’ yang diasaskan oleh kitajaga.co.
Tidak lama selepas itu, Kempen Mengibar Benda Ungu pula mula menyusul, tanda rakyat Malaysia masih lagi prihatin dan sanggup menghulurkan bantuan.
Kempen “Flags of Generosity” hasil kolaborasi Cadbury dan KitaJaga ini telah membuktikan bahawa masih ramai rakyat Malaysia yang murah hati dan ingin membantu tatkala dunia dilanda musibah.
Lagipun, siapa lagi yang boleh jaga kita kalau bukan kita?
Kibar bendera putih untuk meminta bantuan, bendera biru untuk beri bantuan
Kempen yang menjadi viral dalam tempoh masa yang singkat ini telah mendapat perhatian ramai pihak. Kedua-dua golongan – mereka yang ingin mendapatkan bantuan dan ingin memberikan bantuan – mula mengangkat bendera masing-masing.
Aplikasi KitaJaga juga dapat memudahkan lagi proses ini.
Melalui aplikasi ini, keluarga yang ingin memohon bantuan boleh ‘mengibarkan bendera secara maya’ dengan meletakkan pin berwarna putih pada peta untuk menandakan lokasi mereka. Golongan yang ingin memberikan bantuan pula boleh meletakkan pin berwarna biru.
Sistem kitajaga.co akan memadankan kedua-dua bendera ini supaya bantuan dapat diagihkan dengan efektif.
Walau bagaimanapun, disebabkan kekangan dari segi pergerakan, bantuan yang sedia ada sukar untuk diagihkan kepada penerima yang layak.
Malah, lebih banyak bendera berwarna putih yang dikibarkan berbanding bendera biru. Ini menyukarkan lagi usaha untuk menyalurkan bantuan kepada individu yang benar-benar dalam kesusahan.
Oleh sebab itu, team KitaJaga bertindak mengibarkan satu lagi bendera iaitu bendera berwarna ungu!
Kempen kibar bendera Ungu, kolaborasi bersama Cadbury!
Tetapi, apakah beza bendera ungu, biru dan putih?
Dengan menandakan lokasi anda dengan pin berwarna ungu, pasukan KitaJaga akan mengaturkan pengambilan dan penghantaran sumbangan anda.
Lokasi serta sebarang maklumat sulit pemberi akan dirahsiakan supaya privasi individu yang menyumbang terjaga.
Pengguna yang mengibarkan bendera berwarna ungu juga akan dikunjungi oleh team KitaJaga dalam masa seminggu. Semua ini dilakukan secara percuma atau FOC!
Malah, penghantaran sumbangan kepada rumah yang mempunyai pin bendera putih juga akan dilakukan sepenuhnya oleh pihak KitaJaga.
Kempen kerjasama Cadbury dan KitaJaga ini telah berlangsung dari 15 September 2021 hingga 21 Disember 2021. Kini, bendera biru telah digantikan sepenuhnya dengan bendera biru.
Adakah kempen ini sudah berakhir? Jawapannya tidak! Pengguna masih lagi boleh meminta dan memberi bantuan di aplikasi KitaJaga.
Malah, aplikasi ini juga kini telah dilengkapi dengan pelbagai lagi fitur lain seperti laporan gangguan air. Anda juga boleh periksa nombor telefon scammer secara atas talian melalui aplikasi KitaJaga!
Kempen “Flags of Generosity” telah memenangi pelbagai anugerah
Kempen Kibar Bendera Ungu telah memenangi beberapa anugerah, antaranya ialah anugerah Gold in the Outdoor dalam kategori Corporate Purpose & Social Responsibility.
Kempen “Flags of Generosity” juga telah tercalon dalam senarai pemenang D&AD Award Winner 2022.
Kesemua anugerah ini merupakan bukti bahawa kempen yang dijalankan oleh Kitajaga.co telah memberikan impak yang besar dan berjaya memberikan kesan positif terhadap masyarakat tempatan.
Kempen-kempen ini juga berjaya mengubah nasib individu yang sedang dalam kesusahan, terutamanya ketika negara dilanda wabak COVID-19 dahulu.